Skip Navigation Links
Biodiesel: Kerajaan Thailand terap kesedaran awal kepada generasi muda
Monday, 2011-05-30, by Utusan

LANGKAH kerajaan Thailand memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kepentingan bahan api biodiesel berjaya mencipta kesedaran dalam kalangan mereka.

Guru Sekolah Surat Pittaya, Surat Thani, Pol Tangchsone, berkata pelajar sekolah menengah di negara itu diberikan maklumat lengkap mengenai biodiesel selama dua tahun, bermula di Tingkatan Empat hingga Lima.

“Kesedaran diterapkan dalam sistem pendidikan negara berkenaan bermula 2005 dan hasilnya dalam tempoh enam tahun, semua pelajar di sini mampu menceritakan secara ringkas apa itu biodiesel dan kepentingannya,” katanya.

Tangchsone berkata demikian ketika ditemui Majlis Taklimat 'Effective Microorganism' di Prince of Songkhla University (PSU), kampus Surat Thani, pada Ekspedisi Biodiesel Singapura-Thailand-Laos Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Beliau berkata, selain program berkaitan kepentingan biodiesel, kerajaannya juga memberikan insentif bagi menggalakkan lebih banyak pam minyak biodiesel dibina di seluruh negara.

PSU kampus Surat Thani juga katanya, mempunyai loji memproses biodiesel di Bang Kong, kira-kira 10 kilometer dari kampus utamanya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, koordinator ekspedisi Dr Firdausi berkata, sejumlah 45 peratus sisa buangan di tapak pelupusan sampah di Malaysia berasal daripada sisa makanan dan organik.
Jumlah yang banyak itu kata beliau, memberi idea sekumpulan penyelidik UTM membawa kepada penemuan ekstrak mikro organisma yang diproses semula.

Bahan buangan itu katanya, diproses melalui kaedah `Effective Microorganism (EM)’ yang menghasilkan baja organik dan ejen mengurangkan risiko serangan serangga perosak. Hasil penyelidikan itu dapat dimanfaatkan bersama pelajar Sekolah Surat Pittaya.

Firdausi berkata, pati mikro organisma yang dihasilkan adalah berasaskan bahan buangan yang dikitar semula.

Untuk mengaktifkan EM, beliau berkata, penyelidik akan menjalankan kitar semula dalam tempoh dua minggu bagi memastikan kualiti EM berfungsi pada tahap maksimum.